ALOR SETAR – Seorang peniaga pasar malam menerima padah apabila dihukum penjara 30 bulan selepas didapati bersalah atas kesalahan pecah rumah dan mencuri di kediaman bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Tertuduh, T Rakesh Kumar, 44, membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Nur Shifa Mohd Hamzah ketika pertuduhan dibacakan kepadanya di Mahkamah Majistret Alor Setar, pada Rabu.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM1,500, dengan hukuman penjara tambahan enam bulan sekiranya gagal melunaskannya.
Berdasarkan pertuduhan, Rakesh Kumar didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 2.50 pagi pada 29 Mei lalu di sebuah rumah di Taman Rakyat.
Dia didakwa memasuki kediaman Ahmad Bashah tanpa kebenaran sebelum mencuri satu unit mesin rumput. Kesalahan ini didakwa di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan bagi kesalahan berulang.
Peguam tertuduh, Aina Shafina Idrus Saidi, memohon agar hukuman penjara terhadap anak guamnya diringankan dengan alasan tertuduh mempunyai pendapatan tidak menentu serta perlu menanggung isteri dan kedua ibu bapanya yang menghidap penyakit kronik.
“Anak guam saya insaf dan amat kesal dengan perbuatannya. Saya mohon agar hukuman penjara ke atasnya dikira dari tarikh dia ditangkap,” katanya.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sharmila Md Asri, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Mahkamah akhirnya menetapkan hukuman penjara terhadap tertuduh bermula dari tarikh dia ditangkap.