KUALA LUMPUR: Umat Islam diingatkan agar tidak melupakan tanggungjawab membantu saudara seagama yang sedang berjuang mempertahankan tanah air mereka, khususnya di Gaza yang terus dilanda penderitaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam perutusan sempena Aidiladha, menegaskan bahawa sambutan hari mulia ini seharusnya diiringi dengan keinsafan dan solidariti sesama umat Islam yang tertindas di seluruh dunia.
“Ketika melaungkan semarak takbir Aidiladha yang menyemai inti maksud kalimah ‘Allahuakbar’, umat Islam tidak akan terlepas daripada ikhtiar membantu golongan itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.
Anwar menjelaskan, Aidiladha bukan sekadar perayaan berbentuk ritual atau ibadah fizikal, sebaliknya ia mengangkat nilai-nilai pengorbanan yang membawa erti besar kepada kemanusiaan sejagat.
Menurut beliau, semangat dan keagungan Aidiladha tidak dapat dipisahkan daripada kisah agung Nabi Ibrahim AS bersama anakandanya, Nabi Ismail AS, yang menjadi lambang kepatuhan dan ketundukan kepada perintah Allah SWT.
“Kemuliaan dan semangat Aidiladha sudah pasti tidak lepas daripada kisah inspiratif Nabi Ibrahim bersama Nabi Ismail yang dizahirkan melalui pengorbanan yang dilakukan menjunjung perintah Allah SWT,” katanya lagi.
Selain mengangkat nilai pengorbanan, Anwar turut menekankan peranan Nabi Ibrahim sebagai sosok kenabian yang mewariskan pendekatan dakwah yang intelektual dan penuh hikmah dalam menyampaikan kebenaran.
“Selain ibrah pengorbanan seorang bapa dan Rasul, kisah Nabi Ibrahim juga sarat dengan legasi kenabian pejuang kebenaran membawa mesej hikmah dan pesan pendidikan kenabian yang mewariskan model dakwah berorientasikan budaya wacana yang sihat dan segar,” katanya.
Perdana Menteri menambah bahawa pendekatan Nabi Ibrahim tidak bersifat monolog atau arahan satu hala, sebaliknya menekankan pentingnya berdialog dan berhujah dalam mengajak masyarakat menilai dengan akal serta membentuk keperibadian unggul.
“Nabi Ibrahim mengambil pendekatan tidak berpidato secara monolog tetapi sering mengajak khalayaknya untuk berdialog dan berhujah yang meyakinkan sebagai rencana dan strategi merangsang keupayaan menilai dengan akal sihat serta menghargai kebenaran, sekali gus membina warga yang cerdas dan punya disiplin kendiri yang tinggi,” ujarnya.
Beliau turut mendoakan agar seluruh umat Islam di negara ini serta jemaah haji yang berada di Tanah Suci dikurniakan kesihatan, kekuatan serta dilindungi dalam mengharungi pelbagai cabaran mendatang.
“Saya doakan seluruh umat Islam di Malaysia dan warga Malaysia yang sedang mengerjakan ibadah haji diberikan afiat dan kekuatan mendepani tantangan di hadapan serta terus tawaduk bermunajat dalam rahmat dan perlindungan Ilahi,” katanya.
Mengakhiri perutusannya, Anwar memetik ayat 37 daripada Surah Al-Hajj yang memberi penekanan terhadap keikhlasan dan ketakwaan sebagai inti pati utama dalam ibadah korban.
“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu,” katanya.
Aidiladha yang dirai saban tahun bukan sekadar memperingati peristiwa besar dalam sejarah Islam, tetapi juga menjadi ruang refleksi untuk umat memperkukuh nilai kemanusiaan, kasih sayang, serta kepekaan terhadap penderitaan sesama manusia di mana sahaja mereka berada.