PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas tragis di Jalan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding awal pagi tadi.
Dalam kenyataan di media sosial, Perdana Menteri turut berdoa agar semua yang terkesan diberikan ketabahan serta kekuatan menghadapi dugaan ini.
“Saya telah arahkan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menyelaras bantuan sewajarnya buat keluarga mangsa.
“Musibah menyayat hati sebegini, yang sering kali berulang, seharusnya menjadi pengajaran buat kita semua agar lebih berhati-hati dan tidak terburu-buru di jalan raya. Nyawa terlalu berharga dan tiada galang ganti,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 15 individu maut dalam nahas yang melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 1 pagi.
Insiden ini sekali lagi menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan perjalanan pelajar universiti serta kepentingan langkah-langkah keselamatan jalan raya.
Kerajaan kini sedang menyelaras bantuan kepada mangsa dan keluarga mereka, termasuk aspek kebajikan serta sokongan emosi bagi mereka yang terkesan.