KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menyelaras segala bentuk bantuan yang bersesuaian kepada keluarga mangsa kemalangan tragis yang meragut sekurang-kurangnya 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi Isnin.
Dalam satu kenyataan menerusi Facebook, beliau melahirkan rasa sedih yang mendalam terhadap kejadian itu dan menekankan betapa pentingnya keselamatan ketika dalam perjalanan.
“Musibah sebegini amat menyayat hati. Ia sepatutnya menjadi pengajaran buat semua supaya lebih berhati-hati dan tidak terburu-buru ketika dalam perjalanan. Nyawa kalian terlalu berharga dan tiada galang gantinya,” katanya.
Datuk Seri Anwar turut menyampaikan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa, mewakili dirinya dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Beliau turut mendoakan agar keluarga mangsa diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi dugaan besar ini.
“Saya dan Azizah amat berdukacita menerima perkhabaran nahas tragis awal pagi tadi berhampiran Gerik yang melibatkan sebuah bas dan beberapa kenderaan lain. Nahas itu mengorbankan 15 pelajar yang dalam perjalanan pulang,” ujarnya.
Menurut laporan, kejadian berlaku di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik, apabila sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dari Jertih, Terengganu menuju ke Tanjung Malim, Perak, terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain. Akibat pelanggaran itu, bas berkenaan terbalik.
Setakat ini, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Sementara itu, usaha menyelamat dan pengurusan jenazah sedang giat dijalankan.