Thursday, 17, July, 2025
Utama Nasional Komuniti MADANI digalakkan aktif di media sosial tangani maklumat palsu – Fahmi

Komuniti MADANI digalakkan aktif di media sosial tangani maklumat palsu – Fahmi

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR: Komuniti MADANI digesa memanfaatkan sepenuhnya platform media sosial sebagai saluran utama untuk menyebarkan maklumat sahih, sekali gus membantu menangkis penularan maklumat palsu yang kian berleluasa di peringkat akar umbi.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah ini adalah sebahagian daripada usaha memperkasakan komuniti agar mereka mampu menjadi penyampai maklumat yang efektif dan dipercayai dalam masyarakat masing-masing.

“Kita akan minta Jabatan Penerangan (JaPen) untuk kumpulkan maklumat yang tepat dan salurkan kepada mereka supaya boleh dikongsi menerusi media sosial. Ini penting untuk pastikan rakyat dapat maklumat yang benar, cepat dan jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Akademi Asas Penerangan (ASAS) Zon Utara A di sini, pada Selasa.

Menurut Fahmi, pelaksanaan program ASAS akan terus dipertingkat dengan penambahan modul yang lebih terperinci dan bersesuaian dengan keperluan semasa agar kesannya lebih menyeluruh serta mampan.

Tambahnya, program ini bukan sahaja membekalkan pengetahuan, malah membimbing peserta untuk menyampaikan maklumat dalam bentuk yang padat dan mudah difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat.

“Dalam mana-mana isu yang timbul, kita perlu maklumat yang ringkas dan jelas. ASAS membantu peserta menyusun hujah dengan tepat supaya penerangan yang diberikan tidak disalah tafsir,” jelas beliau.

Terdahulu, Fahmi turut berinteraksi bersama hampir 90 ahli Komuniti MADANI dari Kedah dan Perlis dalam program yang dianjurkan oleh JaPen.

Sementara itu, JaPen dalam kenyataan memaklumkan bahawa program ASAS merupakan satu pendekatan strategik bagi memperkukuh jaringan komunikasi kerajaan di peringkat komuniti, di samping membentuk komuniti yang berdaya saing dan diyakini sebagai ejen komunikasi berwibawa.

Menurut agensi itu, penganjuran kali ini merupakan yang ketiga bagi tahun 2025 dan merupakan program sulung bagi Zon Utara, menunjukkan komitmen berterusan dalam memperluas inisiatif latihan komunikasi akar umbi.

Setakat ini, seramai 420 peserta dari seluruh negara telah mengikuti latihan ASAS, dan hasilnya, sebanyak 335 video pendek telah dihasilkan dan dimuat naik ke pelbagai platform media sosial untuk menjelaskan isu-isu semasa secara tuntas.

Modul ASAS dibangunkan berasaskan pendekatan Training of Trainers (ToT), dengan matlamat membentuk ahli Komuniti MADANI sebagai pemimpin pendapat (Key Opinion Leader) dalam kalangan komuniti masing-masing.

Langkah ini selari dengan nilai-nilai yang digariskan dalam kerangka Malaysia MADANI yang menekankan peranan aktif rakyat dalam menyokong penyebaran maklumat tepat dan membina wacana yang sihat dalam masyarakat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com