SINTOK – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengingatkan orang ramai agar lebih berhemah dalam menghasilkan kandungan berkaitan kemalangan tragik di Jalan Gerik-Jeli yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pada Isnin lalu.
Menurut beliau, tindakan segelintir pihak yang merakam atau memuat naik kandungan di lokasi kejadian boleh mengguris perasaan keluarga mangsa yang sedang meratapi kehilangan insan tersayang.
“Saya minta sebaik mungkin kita berikan ruang kepada keluarga mangsa. Saya ada lihat kandungan yang dihasilkan dan kita perlu berpada-pada.
“Ada satu kandungan dibuat dalam bas terlibat, dan walaupun mesejnya takziah, ia tetap berlaku di lokasi kemalangan yang masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya pada Selasa.
Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas insiden yang berlaku kira-kira jam 1 pagi berhampiran Tasik Banding, membabitkan sebuah bas dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan 48 mangsa terlibat.
Beliau menambah, insiden itu dijangka dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan sebarang tindakan lanjut akan ditentukan berdasarkan laporan rasmi pihak berwajib.
“Kita akan tunggu maklumat rasmi terlebih dahulu. Kalau ada keperluan dari segi penguatkuasaan, kita akan ambil tindakan selepas perbincangan esok,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa masyarakat agar menjaga adab ketika mengulas atau berkongsi maklumat mengenai kejadian tersebut di media sosial.
“Tragedi ini menyentuh hati ramai pihak, jadi kita perlu lebih peka dan beretika dalam setiap perkongsian,” katanya.
Terdahulu, Fahmi hadir merasmikan Forum Siber, Suara dan Sempadan: Merungkai Dinamika Kebebasan Media Dalam Era Digital di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Turut hadir, Presiden Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Yong Soo Heong dan Timbalan Naib Canselor UUM, Ahmad Martadha Mohamed.