KUALA LUMPUR: Pelaksanaan konsep sekolah menegak yang diintegrasikan dengan projek perumahan mampu milik Rumah Bakat MADANI di Pulau Pinang dilihat mampu menjamin keselamatan pelajar dan pada masa sama mengurangkan beban kos pengangkutan keluarga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan ini mencerminkan ikhtiar Kerajaan MADANI untuk membentuk kawasan kejiranan yang bukan sahaja selamat, tetapi turut memperkukuh nilai ihsan dan semangat komuniti.
Katanya, elemen pendidikan yang diintegrasikan dalam projek pembangunan kediaman merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam membawa kesejahteraan menyeluruh kepada rakyat, bukan sekadar membina bangunan indah tanpa jiwa.
“Sekolah menegak ini, bila digabungkan dengan perumahan, mampu menjamin keselamatan murid untuk ke sekolah kerana mereka tidak perlu keluar jauh dari kediaman, malah saya percaya ia turut membantu mengurangkan beban kos pengangkutan harian yang ditanggung keluarga,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Perdana Menteri berkata, projek pembangunan ini juga membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam mempercepat kelulusan projek menerusi kerjasama rentas kementerian, agensi serta libat urus bersama kerajaan negeri.
Projek tersebut adalah hasil inisiatif sektor swasta menerusi pemaju Skyworld yang bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman berkualiti pada harga mampu milik.
“Saya dimaklumkan pembangunan ini akan turut menempatkan pelbagai kemudahan lengkap termasuk sekolah dan taska, surau, ruang perniagaan, kawasan landskap serta taman permainan yang mesra komuniti,” jelas beliau.
Terdahulu, Anwar menghadiri sesi pembentangan konsep projek Rumah Bakat MADANI oleh wakil pemaju di Putrajaya.
Projek ini bukan sahaja menyasarkan penyediaan tempat tinggal selesa untuk rakyat, malah menawarkan pendekatan pembangunan holistik yang merangkumi elemen pendidikan, ekonomi, dan sosial dalam satu komuniti mampan.
Ia sekaligus menjadi manifestasi kepada wawasan Malaysia MADANI yang mengutamakan pembangunan berasaskan nilai kemanusiaan, kemakmuran bersama serta tanggungjawab sosial.