KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menganugerahkan beberapa projek kepada syarikat di bawah naungan Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) Berhad, sebagai usaha memperkukuh kebajikan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menjana pulangan mampan kepada ahli koperasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata inisiatif itu juga selaras dengan hasrat kerajaan memperkasa penglibatan koperasi dalam sektor strategik dan berimpak tinggi.
“Kami akan teliti projek-projek yang dikemukakan secara menyeluruh bagi memastikan kesesuaiannya serta keupayaan koperasi melaksanakannya dengan cekap dan berdaya saing.
“Sekiranya dilaksanakan dengan baik, ia mampu memberi manfaat besar kepada anggota polis dan ahli koperasi secara menyeluruh,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Ke-90 (MAPT90) KPDRM Berhad, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Terdahulu, Razarudin dalam ucapannya mengemukakan beberapa permohonan termasuk penganugerahan kontrak pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, serta pertimbangan kontrak pembekalan ‘Head To Toe’ PDRM kepada syarikat KOP Tradtech Sdn Bhd dan KOP Logistic Distribution Sdn Bhd.
Beliau turut memohon geran khas kerajaan bagi membiayai caruman takaful bernilai RM264 setahun bagi setiap anggota PDRM melibatkan dua pelan perlindungan asas.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan akan menilai setiap permohonan dengan teliti, mengambil kira impak fiskal dan keupayaan pelaksanaan.
“Kerajaan sedia mempertimbang penambahan bilangan projek pada masa akan datang, sekiranya koperasi menunjukkan pengurusan cekap dan prestasi cemerlang,” katanya.