Saturday, 14, June, 2025
Utama Nasional Kerajaan timbang pengecualian hutang Kolej UNIKOP secara berhemah

Kerajaan timbang pengecualian hutang Kolej UNIKOP secara berhemah

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti langkah memberi pengecualian sebahagian hutang yang ditanggung Kolej UNIKOP di bawah seliaan Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) Berhad, namun tidak akan melupuskan sepenuhnya liabiliti berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sebarang keputusan perlu dibuat secara bertanggungjawab dengan mengambil kira keupayaan dan prestasi pengurusan koperasi agar selari dengan prinsip pengurusan mampan.

“Saya berpendirian tidak wajar untuk melupuskan keseluruhan hutang, tetapi berdasarkan prestasi baik pengurusan polis, kerajaan bersetuju memberi potongan yang munasabah,” katanya.

Menurut Anwar, beliau telah meminta KPDRM mengemukakan laporan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kewangan (MoF) bagi meneliti kaedah terbaik menyelesaikan isu berkenaan.

“Pada masa sama, MoF akan cari jalan lain. Sebagai contoh, satu projek yang akan memberi manfaat kepada 100,000 anggota polis, itu saya beri jaminan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Ke-90 (MAPT90) KPDRM Berhad, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Perdana Menteri turut memaklumkan satu pertemuan bersama pengurusan KPDRM Berhad akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperincikan kedudukan tunggakan hutang dan hala tuju penyelesaian yang lebih menyeluruh.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com