Saturday, 14, June, 2025
Utama Nasional Malaysia tegas hadir Persidangan PBB bincang isu Palestin

Malaysia tegas hadir Persidangan PBB bincang isu Palestin

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Malaysia mengesahkan akan tetap menghantar wakilan ke Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 20 Jun ini, meskipun wujud tekanan dari Amerika Syarikat (AS) untuk negara lain memboikot acara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa setiap negara mempunyai hak untuk menyuarakan pendirian mereka, khususnya dalam isu keadilan untuk rakyat Palestin dan Gaza.

“Mana-mana negara berhak hadir untuk kemukakan pandangan mereka, terutama keadilan bagi rakyat Palestin dan Gaza, itu pendirian kita.

“Saya menyokong inisiatif ini yang digerakkan oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Azzubair Ibnul Awwam, di sini, hari ini.

Anwar turut menyatakan sokongan penuh terhadap usaha antarabangsa diterajui Arab Saudi dan Perancis dalam memperjuangkan penyelesaian adil bagi rakyat Palestin yang terus dizalimi rejim Zionis.

Sebelum ini, beberapa laporan antarabangsa termasuk agensi Reuters mendedahkan pentadbiran AS sedang mendesak negara-negara asing untuk tidak menghadiri persidangan berkenaan.

Dipetik daripada kabel diplomatik AS, Reuters melaporkan pentadbiran Donald Trump memberi amaran bahawa mana-mana negara yang mengambil pendirian menentang Israel akan dianggap bertentangan dengan dasar luar AS dan berisiko berdepan tindakan diplomatik.

Persidangan berkenaan dianjurkan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi dengan matlamat memperkukuh sokongan global terhadap penyelesaian dua negara sebagai jalan damai berterusan, di tengah-tengah kebimbangan terhadap tindakan unilateral dan polarisasi yang kian memburuk.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com