Thursday, 17, July, 2025
Utama Nasional PM tekan kepentingan tatakelola baik, tanam nilai integriti dalam kalangan generasi muda

PM tekan kepentingan tatakelola baik, tanam nilai integriti dalam kalangan generasi muda

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan keperluan memperkukuh amalan tatakelola baik di semua peringkat, selain memperkasa nilai integriti dalam kalangan generasi muda sebagai pelapis kepimpinan negara.

Beliau berkata, perkara itu ditekankan ketika mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Tatakelola Dewan Kenegaraan yang berlangsung hari ini, yang turut membincangkan beberapa aspek penting dalam usaha memperjuangkan pembaharuan sistem pentadbiran negara.

“Penekanan diberikan terhadap peranan remaja dan belia dalam memahami serta menghayati kepentingan integriti, akauntabiliti dan kebertanggungjawaban dalam pentadbiran dan kepimpinan.

“Antara pendekatan strategik yang digerakkan termasuk melalui Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) serta bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya menerusi catatan di Facebook, hari ini.

Menurut Anwar, menjadi keutamaan untuk memupuk kesedaran berkenaan nilai serta prinsip tatakelola sejak usia muda, sebagai asas membentuk sahsiah generasi masa depan.

“Ia bukan semata-mata melahirkan individu berintegriti, malah membina generasi pewaris kepimpinan negara yang mampu membawa aspirasi rakyat dengan penuh amanah dan profesionalisme,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com