Saturday, 14, June, 2025
Utama Nasional Walaupun dikritik, Kerajaan tetap tanggung perbelanjaan Dr Mahathir ke Forum Nikkei

Walaupun dikritik, Kerajaan tetap tanggung perbelanjaan Dr Mahathir ke Forum Nikkei

oleh Ammar Haziq

FOTO PEJABAT TUN DR MAHATHIR MOHAMAD

MELAKA – Walaupun sering menerima kritikan, kerajaan tetap membiayai perjalanan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ke Forum Antarabangsa Nikkei ke-30 di Tokyo, Jepun pada Mei lalu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM486,000 bagi menampung kos perjalanan Dr Mahathir setelah menerima permohonan rasmi daripada beliau.

“Ada peraturan membolehkan Perdana Menteri luluskan perjalanan bekas Perdana Menteri yang lain… Beliau mohon, kalau Perdana Menteri luluskan, kerajaan akan bayar, termasuk untuk Tun Mahathir,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri satu seminar parti di sini.

Anwar menjelaskan bahawa bekas Perdana Menteri berhak memohon peruntukan, namun kelulusan tetap bergantung kepada pertimbangan kerajaan. Beliau turut mengakui bahawa walaupun sering dikritik oleh Dr Mahathir, keputusan untuk membiayai perjalanan tersebut dibuat tanpa sentimen peribadi.

“Saya tidak mahu ada yang salah faham… walaupun beliau hari-hari ‘serang’ kita, kita masih luluskan,” tambahnya.

Pada 30 Mei lalu, Dr Mahathir menyampaikan ucapan dalam forum berprestij itu, membincangkan ekonomi, teknologi dan masa depan Asia. Dalam ucapannya, beliau turut memberi bayangan bahawa penyertaannya kali ini mungkin yang terakhir dalam persidangan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata bahawa dua menteri Kabinet yang telah mengemukakan surat peletakan jawatan masih diberikan masa untuk mempertimbangkan keputusan mereka.

Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebelum ini menyerahkan surat peletakan jawatan susulan kekalahan mereka dalam pemilihan parti bulan lalu.

“Saya kalau boleh, mahu mereka sertai semula Kabinet. Surat peletakan jawatan sudah diterima, tetapi saya belum luluskan,” kata Anwar.

Beliau turut menyeru ahli parti supaya memperkukuh hubungan sesama mereka walaupun terdapat ketidakpuasan hati berhubung keputusan pemilihan.

“Bayangkan saya boleh bekerjasama dengan UMNO, siap peluk-peluk. Ahli parti kena move on untuk agenda lebih besar,” tambahnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com