KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi hari ini mengumumkan pemuktamadan Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia (MMM) yang bakal menjadi tonggak utama dalam memperkasa kebebasan dan etika kewartawanan negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, lembaga itu akan dianggotai seramai 12 individu, terdiri daripada empat wakil setiap kategori iaitu syarikat media, persatuan media, pengamal media serta pengamal media bebas, dan ahli bukan media.
Beliau berkata demikian pada majlis kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini, yang turut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai; Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj yang juga Pengarah Projek HAWANA 2025 serta barisan pengurusan tertinggi syarikat media tempatan.
Sebelum ini, Fahmi memaklumkan MMM dijangka mula berfungsi sekitar pertengahan tahun ini susulan kelulusan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024 di Parlimen, Februari lalu.
MMM bakal berperanan sebagai badan kawal selia kendiri yang bukan sahaja melindungi kebebasan media, malah memastikan standard etika kewartawanan dipatuhi, seiring usaha memperkukuh industri media Malaysia.
Sambutan HAWANA 2025 yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi bersama Bernama sebagai agensi pelaksana bertujuan mengiktiraf jasa pengamal media dalam pembangunan negara.
Tarikh 29 Mei telah diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional, bersempena penerbitan pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, yang menjadi titik tolak kepada sejarah kewartawanan tanah air.