KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memberi bantuan kepada individu serta organisasi yang menghadapi masalah berkaitan akses atau kandungan di platform media sosial.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan daripada pengguna dan MCMC komited untuk membantu tanpa mengira latar belakang atau status pihak terlibat.
“Dari semasa ke semasa, MCMC malah saya sendiri sering didekati individu atau organisasi yang menghadapi isu dengan akaun media sosial mereka. MCMC akan bantu dengan menghubungi pihak platform secara rasmi bagi pihak mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Makan Malam Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) 2025 sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di sini, malam tadi.
Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarang Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025, Arul Rajoo Durar Raj serta barisan pengurusan kanan agensi berita itu.
Dalam pada itu, Fahmi mengesahkan bahawa pihak Meta Platforms Inc (Meta) telah memberikan penjelasan berhubung isu kehilangan kandungan dalam akaun Facebook milik Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
“Akaun tersebut tidak digodam dan tiada tanda-tanda motif lain. Meta maklumkan mereka sedang membantu mendapatkan semula hantaran-hantaran yang hilang,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa hantaran dalam laman Facebook milik Akmal Nasrullah sejak penghujung 2022 telah hilang, mencetuskan dakwaan sabotaj terhadap akaun timbalan menteri itu.