Monday, 16, June, 2025
Utama Nasional PM perbaharui kad perakuan media di HAWANA 2025

PM perbaharui kad perakuan media di HAWANA 2025

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memperbaharui kad perakuan media beliau sempena Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini.

Kad berkenaan dicetak secara langsung di reruai khas Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) yang menyediakan perkhidmatan pembaharuan kad sebagai simbol penghargaan kepada kehadiran pemimpin utama negara yang sentiasa memberi sokongan terhadap industri media tanah air.

Kad perakuan berkenaan bernombor H70027, dikeluarkan dalam kategori emas dengan label PMO (Pejabat Perdana Menteri), melambangkan status sebagai pegawai penyelaras media.

Anwar tiba ke majlis berprestij itu diiringi Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai; Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; serta Ketua Pengarang Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025, Arul Rajoo Durar Raj.

Kali pertama Perdana Menteri menerima kad perakuan media adalah ketika sambutan kemuncak HAWANA 2023 yang diadakan di Ipoh, Perak.

Kad Perakuan Media merupakan dokumen pengenalan rasmi yang dikeluarkan kepada pengamal media daripada agensi dan syarikat yang berdaftar serta diperakukan kerajaan melalui JaPen, bagi tempoh masa tertentu.

Sebanyak lima kategori warna digunakan bagi kad perakuan ini iaitu hijau (media rasmi kerajaan), biru (media tempatan cetak dan elektronik), kelabu (media digital), merah (media antarabangsa) dan emas (penyelaras media).

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com