Sunday, 15, June, 2025
Utama Nasional Rozaid terima Anugerah Khas HAWANA 2025

Rozaid terima Anugerah Khas HAWANA 2025

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Anugerah Khas sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang dianugerahkan kepada Allahyarham Rozaid Abdul Rahman merupakan penghormatan tulus terhadap jasa, dedikasi dan sumbangan besarnya dalam dunia kewartawanan tanah air.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Allahyarham, yang juga bekas Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO), sebagai figura penting dalam arena media serta seorang pejuang kebebasan media yang berprinsip dan bertanggungjawab.

“Dunia kewartawanan tanah air terus mengenang susuk unggul yang penuh wibawa, Allahyarham Rozaid Abdul Rahman.

“Bagi saya, beliau bukan sekadar wartawan. Beliau adalah sahabat sejati, pemikir tajam dan pejuang tulen kebebasan media,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Allahyarham Rozaid meninggal dunia pada 18 Ogos 2024 akibat serangan jantung, dan dikenang sebagai tokoh media berpengaruh dengan pengalaman lebih empat dekad dalam industri kewartawanan negara.

Beliau dilantik sebagai Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di PMO pada 23 Mei 2023 dan memainkan peranan penting dalam merancang serta menyelaras strategi komunikasi kerajaan.

Anugerah berkenaan disampaikan dalam majlis sambutan HAWANA 2025 yang turut dihadiri Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai; Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; serta Ketua Pengarang Bernama yang juga Pengarah Projek HAWANA 2025, Arul Rajoo Durar Raj.

Sepanjang kariernya, Allahyarham dikenali sebagai individu yang berintegriti tinggi, disegani rakan seindustri dan komited memperjuangkan etika kewartawanan profesional serta kebebasan media secara bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com