Tuesday, 17, June, 2025
Utama Nasional Kerajaan belum sedia laksana semula GST – PM

Kerajaan belum sedia laksana semula GST – PM

oleh Ammar Haziq

LUMUT:Kerajaan mengambil pendirian untuk tidak melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) buat masa ini kerana bimbang kesannya terhadap rakyat berpendapatan rendah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, GST merupakan sistem percukaian menyeluruh yang dikenakan secara rata kepada semua pengguna tanpa mengambil kira latar belakang atau tahap pendapatan, termasuk golongan seperti nelayan, pekebun kecil dan pekerja pembersihan.

“GST ini memang efisien, senang urus. Tapi saya nak tanya, adakah adil bila semua orang termasuk yang miskin dan menganggur pun perlu bayar enam peratus cukai untuk setiap pembelian?” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak di Lumut Waterfront, pada Ahad.

Anwar turut mengulas cadangan daripada pihak pembangkang yang menggesa kerajaan memperkenalkan semula GST atas alasan keberkesanan sistem itu dalam meningkatkan hasil negara.

Namun tegasnya, kerajaan MADANI mengambil pendekatan berhemah dengan tidak terburu-buru melaksanakannya, memandangkan rakyat masih terkesan dengan tekanan kos sara hidup.

“Kalau ekonomi dah kukuh, pendapatan rakyat meningkat, gaji minimum RM4,000 ke atas, kita boleh pertimbangkan semula. Tapi buat masa ini, kita tangguhkan dulu. Jangan jadikan GST ini sebagai alat politik,” jelasnya.

Tegas Perdana Menteri lagi, sebarang dasar fiskal yang bakal dilaksanakan kerajaan harus mengambil kira beban yang ditanggung oleh rakyat, khususnya golongan rentan yang berisiko terjejas sekiranya cukai bersifat menyeluruh seperti GST diperkenalkan semula.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com