Tuesday, 17, June, 2025
Utama Nasional PRIME tingkat kesiapsiagaan hadapi bencana, kecemasan tanpa batasan

PRIME tingkat kesiapsiagaan hadapi bencana, kecemasan tanpa batasan

oleh Ammar Haziq

CYBERJAYA – Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) dilancarkan hari ini sebagai inisiatif strategik Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk meningkatkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi bencana dan kecemasan di tempat awam.

PRIME merupakan sistem komunikasi berasaskan kenderaan yang dilengkapi teknologi satelit, selular, radio dua hala, Wi-Fi, dan dron. Ia berfungsi sebagai sokongan komunikasi interim, memastikan maklumat dapat disampaikan dengan pantas walaupun di lokasi terpencil atau terjejas liputan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan PRIME akan mengukuhkan kecekapan tindak balas terhadap situasi kritikal dan meningkatkan daya tahan komunikasi negara.

“PRIME memastikan ketersambungan tanpa batasan, terutama ketika liputan komunikasi sedia ada terganggu atau terhad.

“Ia membolehkan operasi menyelamat, pengurusan bantuan dan penyampaian maklumat dijalankan dengan lancar,”katanya ketika majlis pelancaran di Ibu Pejabat MCMC.

PRIME dibangunkan dengan teknologi komunikasi pelbagai lapisan yang menjadikannya fleksibel untuk beroperasi dalam keadaan darurat.

Antara kelebihannya adalah penggunaan dron untuk pemantauan udara, sokongan komunikasi satelit bagi kawasan terpencil, serta jaringan Wi-Fi mudah alih untuk kegunaan pasukan penyelamat.

MCMC turut memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan PRIME dapat digunakan secara efektif dalam pengurusan bencana, sekali gus meningkatkan keselamatan dan koordinasi semasa operasi kecemasan.

Sebagai permulaan, tiga unit PRIME akan dibangunkan secara berperingkat:

Unit pertama ditempatkan di Ibu Pejabat MCMC bagi menyokong operasi di Semenanjung Malaysia.

Dua lagi unit akan siap menjelang akhir 2025 untuk ditempatkan di Pejabat MCMC Sabah dan Sarawak.

Selain membantu dalam situasi kecemasan, PRIME juga berfungsi sebagai hab digital bergerak yang menyokong program Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), membolehkan aktiviti jangkauan komuniti dan akses kepada perkhidmatan internet terus ke lokasi sasaran.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com