Tuesday, 17, June, 2025
Utama Nasional Projek LCS membanggakan, bukti keutamaan Kerajaan MADANI

Projek LCS membanggakan, bukti keutamaan Kerajaan MADANI

oleh Ammar Haziq

LUMUT:Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan rasa puas hati terhadap kemajuan kerja pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) oleh Lumut Naval Shipyard (LUNAS) di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, yang disifatkannya sebagai membanggakan dan mencerminkan keutamaan kerajaan terhadap keselamatan negara.

Menurut beliau, perkembangan positif projek itu menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh pertahanan maritim serta melaksanakan prinsip tadbir urus yang baik dalam setiap pelaksanaan dasar.

“TLDM adalah benteng utama negara. Perairan kita terdedah kepada ancaman seperti pengganas, serangan asing dan penyeludupan. Sebab itu saya setuju projek LCS diteruskan di bawah Kementerian Kewangan, dengan penekanan kepada integriti dan ketelusan,” katanya semasa berucap pada Program Kenduri Rakyat menyantuni warga TLDM Lumut, hari ini.

Anwar berkata, kelewatan projek LCS sebelum ini berpunca daripada kelemahan pengurusan dan isu rasuah, justeru kerajaan kini memberi tumpuan kepada pembaikan tatakelola bagi memastikan keselamatan maritim tidak lagi terjejas.

Perdana Menteri turut melakukan lawatan kerja ke tapak pembinaan LCS di LUNAS sebelum menyertai majlis bersama warga TLDM.

Hadir sama, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa Kementerian Pertahanan terus menjadi antara kementerian menerima peruntukan tertinggi setiap tahun, membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan dan kelengkapan anggota keselamatan.

“Untuk 2025, kita sediakan RM21.2 bilion. Ini bukan jumlah kecil. Ia meletakkan pertahanan sebagai antara tiga sektor keutamaan bersama pendidikan dan kesihatan,” katanya.

Beliau turut menyatakan keprihatinannya terhadap keadaan aset keselamatan yang sudah uzur dan berkata langkah proaktif telah diambil bagi mengenal pasti keperluan mendesak pihak tentera.

“Sebaik tubuh kerajaan, saya panggil semua panglima. Saya minta senaraikan keutamaan dan kita usahakan dana mencukupi untuk memperkukuh kelengkapan pertahanan negara,” katanya lagi.

Jelas beliau, kestabilan keselamatan negara adalah asas penting untuk kemajuan ekonomi, dan Kerajaan MADANI akan terus komited memastikan barisan pertahanan negara sentiasa berada pada tahap terbaik.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com