LUMUT:Kerajaan memperuntukkan lebih RM85 juta bagi pelaksanaan beberapa projek penting di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, termasuk pembinaan kemudahan kesihatan dan penaiktarafan sekolah demi kebajikan warga angkatan tentera dan keluarga mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM65 juta diluluskan untuk membina sebuah kompleks klinik pakar serta menaik taraf Hospital Angkatan Tentera (ATM) di pangkalan tersebut, bagi memastikan anggota menerima rawatan kesihatan berkualiti.
“Ini adalah pelaburan penting untuk memastikan keperluan asas dan kebajikan anggota pertahanan kita terus terbela,” katanya ketika berucap dalam satu majlis bersama warga TLDM di sini, pada Ahad.
Dalam usaha memberi keselesaan kepada anak-anak anggota tentera, Anwar turut mengumumkan peruntukan khas RM20 juta bagi menaik taraf 34 buah sekolah di kem dan pangkalan tentera di seluruh negara.
Penaiktarafan itu merangkumi penyediaan kemudahan asas seperti tandas serta makmal pembelajaran yang lebih kondusif.
“Saya tidak mahu anak-anak yang tinggal di kem, sedang ayah mereka bertugas berbulan-bulan di laut atau di udara, terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa. Mereka juga berhak menikmati suasana pembelajaran yang baik,” tegas beliau.
Dalam majlis yang dihadiri lebih 1,500 warga TLDM dan tetamu itu, Anwar turut menyampaikan sumbangan kepada 98 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024 yang merupakan anak-anak anggota TLDM.
Majlis berkenaan dianjurkan sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan warga TLDM dalam menjaga keselamatan perairan negara.