KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kementerian Ekonomi tidak akan dibubarkan atau dikembalikan sebagai Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), sekali gus menepis spekulasi berhubung kedudukan kementerian tersebut.
“Tidak… tiada isu dan masalah, kita harus ‘move on’,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Energy Asia 2025 di sini, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengulas perkembangan berkaitan kedudukan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, masing-masing Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, yang difahamkan sedang bercuti.
Menurut beliau, ruang masih diberikan kepada kedua-dua menteri untuk mempertimbang semula keputusan mereka.
“Saya selalu beri peluang… bagi masa untuk fikir dan renung. Saya dah beri pandangan, kalau boleh, teruskan khidmat. Buat apa nak gesa terima (peletakan jawatan), mereka masih bercuti dan belum sampai tarikhnya. Mereka juga berkhidmat dengan baik,” katanya.
Terdahulu, laporan media menyebut bahawa kekosongan jawatan Menteri Ekonomi tidak semestinya memerlukan rombakan besar Kabinet, sebaliknya peranan kementerian itu boleh disusun semula di bawah JPM, seperti yang pernah diamalkan sebelum ini.
Sementara itu, menyentuh mengenai Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), Anwar menjelaskan beberapa perubahan kini sedang dilakukan terhadap angka dan unjuran ekonomi, susulan perkembangan terkini termasuk kenaikan tarif import yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada April lalu.
“RMK adalah tanggungjawab Jemaah Menteri secara keseluruhan. Banyak perubahan berlaku, terutama dari segi senario ekonomi semasa dan tarif baharu. Maka unjuran turut berubah.
“Minggu lalu kita adakan mesyuarat bersama kementerian-kementerian untuk dengar penyesuaian serta dasar baharu yang perlu disepadukan,” katanya.
Anwar menegaskan, pendekatan kerajaan sentiasa berpaksikan kepada realiti semasa ekonomi global dan menuntut penyesuaian dasar bagi memastikan pertumbuhan negara dapat dikekalkan dalam keadaan mencabar.