Wednesday, 18, June, 2025
Utama Nasional Jawatankuasa bersama KKM, MOF ditubuh pastikan kos kesihatan swasta mampu milik

Jawatankuasa bersama KKM, MOF ditubuh pastikan kos kesihatan swasta mampu milik

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) bagi memastikan penjagaan kesihatan swasta yang berkualiti kekal mampu diakses oleh rakyat.

Menurut beliau, langkah tersebut bertujuan menangani isu inflasi kos perubatan yang semakin menekan, sekali gus menyentuh terus aspek kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Penjagaan kesihatan swasta semakin tidak mampu diakses akibat inflasi kos perubatan yang tinggi. Ini bukan sekadar isu ekonomi, ia merupakan isu kesejahteraan negara,” katanya dalam ucaptama sempena Sasana Symposium 2025 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, semalam.

Jelas beliau, jawatankuasa berkenaan bukan sekadar melaksanakan pelarasan kecil, sebaliknya bertindak melakar reformasi menyeluruh ke arah sistem kesihatan yang lebih telus, adil dan berasaskan hasil.

Anwar berkata antara aspek utama yang bakal diberi tumpuan termasuk penetapan harga rawatan yang lebih jelas, pemerkasaan sistem kesihatan digital, serta peluasan akses menerusi pelaksanaan insurans asas perubatan universal yang lebih mampu milik.

“Matlamat kita ialah menjadikan penjagaan kesihatan sebagai tunjang ketahanan negara, dipandu oleh belas ihsan, dasar yang mantap dan keperluan rakyat. Dan saya sendiri akan memastikan reformasi ini dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan satu mesyuarat penting akan dilaksanakan antara KKM, MOF dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memperincikan cadangan dasar dan mekanisme pelaksanaan berkaitan kos rawatan sektor swasta.

Langkah tersebut dilihat sebagai komitmen serius kerajaan dalam merapatkan jurang akses kesihatan, terutama bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang semakin terkesan akibat kenaikan kos hidup.

Dengan pendekatan rentas kementerian ini, kerajaan berharap dapat memperkenalkan satu model penjagaan kesihatan swasta yang lebih lestari dan inklusif untuk masa depan negara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com