Wednesday, 18, June, 2025
Utama Nasional Pustakawan bukan sahaja susun buku, perlu bimbing budaya membaca dinamik

Pustakawan bukan sahaja susun buku, perlu bimbing budaya membaca dinamik

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Peranan pustakawan perlu melangkaui sekadar menyusun buku dalam rak, sebaliknya mereka harus menjadi pemacu budaya membaca yang lebih dinamik dan inklusif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perpustakaan bukan sekadar ruang penyimpanan koleksi bahan bacaan tetapi perlu berfungsi sebagai pusat ilmu, budaya, dan wacana intelektual yang aktif.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan dan Mesyuarat Agung Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19 (CONSAL XIX) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Anwar, pustakawan harus berperanan sebagai pembimbing yang memperkenalkan bahan bacaan berkualiti kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

“Peranan pustakawan bukan sekadar mengumpul buku dan mempamerkannya di dalam almari kaca. Sebaliknya, mereka perlu memastikan perpustakaan menjadi sumber ilmu yang memberi inspirasi kepada pembaca,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan pustakawan dalam memanfaatkan teknologi serta kandungan digital bagi menjangkau khalayak yang lebih luas.

Anwar turut mengaitkan perpustakaan dengan konsep pembangunan negara MADANI, menyatakan bahawa ilmu adalah tunjang utama dalam memperkukuh ekonomi dan kenegaraan.

Beliau merujuk kepada sejarah tamadun dunia seperti Perpustakaan Iskandariah, Bayt al-Hikmah di Baghdad, dan institusi keilmuan di Barat sebagai bukti bahawa kewujudan pusat ilmu yang unggul memainkan peranan besar dalam pembangunan masyarakat.

Di samping itu, beliau memuji inisiatif seperti Perpustakaan Digital ASEAN yang mencerminkan kesungguhan rantau ini dalam mendemokrasikan akses kepada ilmu.

Menurut Anwar, perpustakaan masa kini bukan sekadar menawarkan koleksi buku fizikal, tetapi perlu menyediakan akses kepada kandungan seperti podcast, filem, e-buku dan sumber digital lain yang semakin menjadi alat pembelajaran penting.

CONSAL XIX kali ini menghimpunkan lebih 1,200 peserta dari negara ASEAN dan luar rantau, dengan 89 kertas kerja dibentangkan bagi membincangkan peranan perpustakaan dalam membina komuniti inklusif dan memperluas ekosistem ilmu kepada kumpulan terpinggir.

Langkah ini sejajar dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) yang menekankan kepentingan akses ilmu untuk semua lapisan masyarakat, termasuk golongan kurang upaya (OKU) dan mereka di kawasan luar bandar.

Dengan pembaharuan ini, diharapkan pustakawan dapat menjadi pendorong perubahan, memastikan budaya membaca terus berkembang sejajar dengan peredaran zaman.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com