Thursday, 26, June, 2025
Utama Mahkamah & Jenayah MCMC ambil tindakan mahkamah saluran Telegram Edisi Khas, Edisi Siasat

MCMC ambil tindakan mahkamah saluran Telegram Edisi Khas, Edisi Siasat

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR– Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas terhadap dua saluran Telegram dikenali sebagai Edisi Siasat dan Edisi Khas yang didapati menyebarkan kandungan memudaratkan dan melanggar undang-undang negara.

MCMC dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah injunksi interim terhadap kedua-dua saluran tersebut.

“Tindakan ini bertujuan menghentikan penyebaran kandungan yang boleh menghakis kepercayaan terhadap institusi awam dan menjejaskan ketenteraman masyarakat,” kata suruhanjaya itu.

MCMC turut menjelaskan bahawa tindakan itu diambil selepas kegagalan Telegram selaku pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [ASP(C)] untuk mengambil tindakan terhadap kandungan berulang yang telah dilaporkan.

“Pelbagai usaha rundingan dan kerjasama telah dilaksanakan sebelum ini, namun tahap pematuhan platform tersebut masih tidak memuaskan,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu, MCMC kekal komited menjalankan pendekatan berterusan terhadap semua penyedia platform media sosial supaya kandungan yang diterbitkan tidak melanggar undang-undang dan tidak menjejaskan keselamatan awam.

Suruhanjaya itu turut menegaskan bahawa pihak Telegram akan diberikan ruang sewajarnya untuk mengemukakan pembelaan di mahkamah, sejajar dengan prinsip keadilan dan hak asasi.

“MCMC tidak akan teragak-agak mengambil tindakan serupa terhadap mana-mana platform lain yang gagal mematuhi undang-undang serta piawaian keselamatan digital negara,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com