Wednesday, 25, June, 2025
Utama Nasional UPSI Angkat Kepakaran Teknologi Lestari Prof. Dr. Che Zalina Dalam Syarahan

UPSI Angkat Kepakaran Teknologi Lestari Prof. Dr. Che Zalina Dalam Syarahan

oleh admin

Oleh: Bazli Razak

TANJONG MALIM, 18 Jun – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh tradisi intelektualnya melalui penganjuran Majlis Syarahan Budiman, yang kali ini memberi penghormatan kepada Prof. Dr. Che Zalina Zulkifli, seorang tokoh akademik dalam bidang sistem pintar dan teknologi lestari.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin menyifatkan syarahan itu bukan sekadar penyampaian ilmu, malah sebagai simbol legasi pemikiran dan sumbangan besar seorang Profesor kepada dunia akademik dan masyarakat.

“Majlis Syarahan Budiman ini adalah penghormatan tertinggi universiti kepada seorang sarjana yang telah melalui perjalanan akademik penuh makna.

“Ia merupakan wadah menyampaikan hasil penyelidikan, pengalaman serta aspirasi untuk manfaat sejagat.

Anak kelahiran Pendang, Kedah itu, merupakanpensyarah kanan di Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi (FKMT) UPSI, dikenali dengan kepakaran dalam kejuruteraan elektronik dan sistem pintar termasuk sistem terbenam, Internet Pelbagai Perkara (IoT), rangkaian sensor tanpa wayar serta teknologi hijau dan pendidikan digital.

“Antara sumbangan utama beliau termasuklah pembangunan Smart Edu-Green Centre, kompos makanan pintar (SEFWC), serta sistem pengairan dan pembajaan automatik.

Apa yang lebih mengagumkan, menurut Prof. Dr. Norkhalid, ialah keupayaan beliau menghubungkan teknologi tinggi dengan penyelesaian berasaskan komuniti dan kelestarian.

Kira-kira lebih 100 orang warga UPSI hadir ke Majlis Syarahan Budiman yang diadakan di Dewan SITC,
Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.
Prof. Dr. Che Zalina Zulkifli ketika menyampaikan syarahan bertajuk Mencorak Masa Depan Lestari:
Penerokaan dalam Sistem Pintar untuk Penyelesaian Mapan dalam satu majlis yang diadakan di Dewan SITC,
Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.
Prof. Dr. Norkhalid Salimin ketika berucap menyempurnakan Majlis Syarahan Budiman yang diadakan di Dewan SITC,
Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

“Malah, kit realiti tambahan (AR) yang beliau bangunkan untuk pendidikan khas juga menunjukkan pendekatan inklusif dan berimpak tinggi.

“Projek-projek tersebut bukan sahaja bersifat akademik, tetapi dimanfaatkan secara langsung oleh komuniti, menjadikannya pencapaian yang signifikan bagi UPSI sebagai universiti pendidikan unggul negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap bagi menyempurnakan majlis tersebut yang diadakan di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Syarahan bertajuk ‘Mencorak Masa Depan Lestari: Penerokaan dalam Sistem Pintar untuk Penyelesaian Mapan’ yang disampaikan oleh Prof. Dr. Che Zalina turut menekankan keperluan teknologi yang bukan sahaja canggih, tetapi turut menyumbang kepada kesejahteraan dan kelangsungan hidup sejagat.

Pengiktirafan antarabangsa beliau termasuk sebagai Profesor Kehormat oleh Kementerian Pengajian Tinggi Uzbekistan, Profesor Pelawat di Tasmania Institute of Agriculture (Australia), Narotama University (Indonesia) dan Songkla University (Thailand) serta menjadi penasihat Universiti Hijau serta Agensi Pembangunan Inovatif di Asia Tengah.

Pencapaian lain termasuk anugerah Best Paper oleh Society of Advancement Science & Technology, pingat emas di PECIPTA dan ITEX, serta pemegang beberapa paten teknologi dalam sistem pemantauan alam sekitar, pendidikan khas dan RFID.

“Ini membuktikan bahawa keilmuan yang diasah di UPSI bukan hanya berakar di tanah air, tetapi juga menjangkau impak di peringkat global.

Tegas beliau, sumbangan Prof. Dr. Che Zalina adalah cerminan kekuatan akademik UPSI dalam mendepani cabaran dunia semasa melalui pendekatan saintifik, beretika dan mapan.

“Seorang Profesor bukan hanya pencapai akademik, tetapi juga pemimpin pemikiran yang memperjuangkan perubahan sebenar dalam masyarakat,” ujar beliau.

Turut hadir Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; Dekan FKMT UPSI, Prof. Madya Dr. Ing Maizatul Hayati Mohamad Yatim; Pengarah Jabatan Strategik UPSI, Prof Dr. Azmi Mohamed; Ketua Pustakawan UPSI, Noriha Muhammad; Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Dr. Mohd Izwan Shahril.Budiman.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com