KUALA LUMPUR – Krisis kemanusiaan dan konflik berpanjangan di Myanmar menuntut tindakan lebih tegas dan bersatu daripada ASEAN, bukan sekadar kenyataan simbolik yang tidak berupaya membawa perubahan nyata.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konflik sivil yang meruncing kini menjadi cabaran paling mendesak di Asia Tenggara, dan gagal ditangani dengan berkesan akan menjejaskan kewibawaan ASEAN sebagai blok serantau.
“Dalam menghadapi cabaran ini, cara untuk kita terus melangkah ke hadapan adalah dengan merapatkan barisan dan mengambil tindakan berteraskan perpaduan, supaya ia tidak melemahkan ASEAN sebagai sebuah blok.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia menganggap ia mempunyai tanggungjawab yang mendalam untuk menggerakkan setiap mekanisme ASEAN yang berdaya maju, dan bekerjasama dengan semua rakan kongsi ke arah pengurangan keganasan, dan seterusnya, proses damai yang diterajui oleh Myanmar dan milik Myanmar,” katanya semasa ucaptama di Mesyuarat Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-38 di sini pada Khamis.
Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Prof Mohd Faiz Abdullah.
Menurut Anwar, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN kini memikul tanggungjawab besar untuk menggerakkan semua mekanisme yang boleh digunakan bagi mengurangkan keganasan dan membuka laluan kepada proses damai yang diketuai oleh rakyat Myanmar sendiri.
“Adalah memalukan jika kita sebagai negara jiran membiarkan krisis ini berlanjutan tanpa campur tangan yang bermakna,” tegas beliau.
Beliau turut membangkitkan isu lebih 200,000 pelarian Rohingya tanpa kerakyatan yang kini berlindung di Malaysia, Thailand dan Bangladesh, sebagai bukti jelas bahawa konflik di Myanmar telah merebak melangkaui sempadan.
“Ini bukan hanya isu dalaman Myanmar. Ini adalah ujian moral buat kita semua di rantau ini,” katanya, sambil merujuk kejadian gempa bumi yang berlaku baru-baru ini sebagai petanda bahawa bencana tidak menunggu kestabilan politik untuk melanda.
Dalam sesi soal jawab, Perdana Menteri menegaskan bahawa tiada penyelesaian berdaya maju selain daripada gencatan senjata segera serta perpaduan kukuh antara negara anggota ASEAN.
“Kita mesti bersuara dan bertindak. Konflik ini berakar dari kebencian berpuluh tahun lamanya, tetapi itu bukan alasan untuk berdiam diri,” katanya lagi.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa isu Myanmar menjadi antara topik utama dalam pertemuan beliau dengan Presiden Timor-Leste, Dr Jose Ramos-Horta di Putrajaya pada Rabu.