ALOR SETAR – Ketegangan antara dua cabang utama perundangan negara terus menjadi perbualan hangat apabila Mahkamah Persekutuan pada Khamis memutuskan bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama tidak terpakai terhadap organisasi berdaftar seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Keputusan yang diumumkan pada 19 Jun 2025 itu mencetuskan keresahan dalam kalangan umat Islam, khususnya apabila ia menyentuh aspek fundamental terhadap peranan institusi agama dalam memandu hala tuju umat menerusi fatwa yang dikeluarkan.
Meskipun keputusan tersebut tidak membatalkan keseluruhan fatwa yang dimaksudkan, ia menimbulkan persoalan besar: Apakah status fatwa dalam sistem perundangan sivil negara ini, dan adakah kedudukannya semakin dipinggirkan?
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amidi Abdul Manan, polemik ini sekiranya dibiarkan berpanjangan hanya akan menghakis keyakinan masyarakat Islam terhadap keutuhan sistem kehakiman syariah.
“Pertikaian antara perundangan syariah dan sivil akan terus berlaku. Setiap kali ia terjadi maka umat Islam di Malaysia akan resah tentang sebarang kemungkinan yang boleh menyebabkan kekecewaan.
”Ia boleh melarat sehingga menghakis kepercayaan umat Islam terhadap keutuhan perundangan negara bagi menjamin kedaulatan undang-undang syariah. Satu tindakan proaktif mesti diambil bagi menamatkan polemik ini,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata demikian mengulas laporan media pada Khamis, Mahkamah Persekutuan memutuskan satu fatwa Selangor yang mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat tidak boleh diguna pakai terhadap Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia.
Ini kerana fatwa itu hanya terpakai kepada orang perseorangan beragama Islam dan bukannya syarikat atau pertubuhan.
Susulan itu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan dikemukakan SIS Forum dan pengasasnya, Datin Paduka Zainah Mahfoozah Anwar, berhubung pertikaian keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng ajaran Islam sebenar yang dikeluar dan diwartakan 11 tahun lalu, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Menurutnya, pihak perundangan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara sepatutnya menggunakan keterbukaan Majlis Raja-raja untuk berbincang bagi mengelakkan salah faham dan menamatkan keresahan umat Islam.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang menurut beliau, tidak mengambil pendekatan berkesan untuk mengharmonikan perundangan sivil dan syariah sepanjang tempoh perkhidmatannya sejak 2019.
“Sepatutnya perkara ini diberi keutamaan sejak dari awal pelantikan beliau. Malangnya, hingga ke akhir perkhidmatan, keresahan umat masih tidak berpenghujung,” tegas Amidi.
Sehubungan itu, beliau menyembah cadangan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar dalam pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu, diberi perhatian kepada individu yang mampu memainkan peranan aktif dalam menyatupadukan sistem perundangan negara.
Umat Islam menaruh harapan tinggi agar kedua-dua sistem perundangan syariah dan sivil dapat berfungsi secara harmoni dan saling melengkapi, bukan bertembung hingga menimbulkan kekeliruan.