Tuesday, 24, June, 2025
Utama Nasional SK Putrajaya Presint 11 (1) antara finalis Anugerah Sekolah Terbaik Dunia

SK Putrajaya Presint 11 (1) antara finalis Anugerah Sekolah Terbaik Dunia

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11 (1) mencipta sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai salah satu daripada 10 finalis utama Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat, anjuran platform pendidikan global, T4 Education.

Pengiktirafan antarabangsa itu menjadi manifestasi kepada inovasi berani warga pendidik dan pelajarnya dalam memupuk kesejahteraan mental melalui penggunaan teknologi yang kreatif dan mesra kanak-kanak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di platform X menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh warga sekolah atas pencapaian membanggakan itu.

“Usaha dan dedikasi kalian menjadi inspirasi kepada semua,” katanya ringkas.

Faktor utama di sebalik pencapaian ini adalah aplikasi inovatif HELPIE, dibangunkan oleh pelajar sendiri bagi menyokong kesejahteraan emosi dan mental dalam kalangan rakan sebaya.

Aplikasi tersebut menggunakan pendekatan gamifikasi yang menjadikan kesedaran emosi menarik dan menyeronokkan, dilengkapi fungsi sembang yang menghubungkan pelajar kepada ahli terapi dalam talian serta kad bercetak untuk aktiviti secara bersemuka.

Apa yang lebih membanggakan, aplikasi ini turut dioptimumkan bagi pelajar yang tidak memiliki akses peranti digital sendiri, dengan pihak sekolah menyediakan tablet khas supaya tiada pelajar yang tercicir daripada mendapat manfaat.

Sejak pelaksanaan HELPIE, sekolah tersebut mencatatkan penurunan sehingga 60 peratus tahap tekanan dalam kalangan pelajar, manakala lebih 90 peratus menunjukkan pemahaman lebih baik terhadap emosi dan kebolehan mengurus tekanan.

T4 Education menyifatkan SK Putrajaya Presint 11 (1) sebagai contoh sekolah yang berjaya menggabungkan kesedaran teknologi dan emosi secara seimbang, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan dan menyeluruh.

Dengan pencapaian ini, SK Putrajaya Presint 11 (1) bukan sahaja mengharumkan nama negara di persada global, malah membuktikan bahawa inovasi akar umbi yang berpaksikan empati dan teknologi mampu memberi kesan besar kepada kesejahteraan murid.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com