Tuesday, 24, June, 2025
Utama Nasional 1,000 Sekolah Angkat Madani berjaya ditubuhkan, melebihi sasaran 300 sekolah

1,000 Sekolah Angkat Madani berjaya ditubuhkan, melebihi sasaran 300 sekolah

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA – Sebanyak 1,000 buah Sekolah Angkat Madani berjaya diwujudkan di seluruh negara setakat ini, jauh melebihi sasaran awal sebanyak 300 sekolah, hasil kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan luar jangka itu mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memperkukuh sistem pendidikan negara melalui pendekatan berlandaskan nilai ihsan dan tanggungjawab bersama.

“Pada awalnya, sasaran kita hanyalah 300 buah sekolah. Kemudian naik kepada 500. Tapi dengan sokongan luar biasa daripada syarikat swasta, agensi kerajaan serta masyarakat, kini kita telah capai angka 1,000,” katanya ketika merasmikan Majlis Peluncuran Sekolah Angkat Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Jumaat lalu.

Menurut beliau, kejayaan itu bukan sekadar angka, malah mencerminkan semangat gotong-royong dalam membangunkan masyarakat Madani yang inklusif dan seimbang.

“Kita mahu sokongan bukan hanya dari segi kewangan, tetapi juga sumbangan tenaga, kepakaran, dan perhatian terhadap kebajikan pendidikan anak-anak bangsa. Banyak sekolah di kawasan pinggir bandar kini menerima manfaat yang nyata hasil kerjasama ini,” ujarnya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia memaklumkan bahawa lebih 80 organisasi awam dan swasta telah tampil menyatakan komitmen untuk memayungi lebih 800 sekolah, angka yang jauh mengatasi sasaran awal 200 sekolah.

Program Sekolah Angkat Madani diwujudkan sebagai platform untuk menangani jurang pendidikan, dengan memadankan organisasi yang mempunyai sumber dengan sekolah yang memerlukan, terutamanya di kawasan pedalaman dan kurang bernasib baik.

Perdana Menteri menegaskan bahawa penglibatan sektor swasta perlu dilihat lebih daripada sekadar tanggungjawab sosial korporat (CSR), sebaliknya berpaksikan nilai kasih sayang dan aspirasi bersama untuk melahirkan generasi masa depan yang cemerlang.

“Rangkaian kerjasama ini perlu diperluaskan. Pendidikan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi amanah kita bersama,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com