KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah dan merafak sembah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-83 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Menerusi hantaran rasmi di laman Facebook, Perdana Menteri turut mendoakan kesejahteraan berterusan buat baginda serta kerabat diraja.
“Patik merafak sembah dan menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
“Semoga Sultan Sallehuddin, Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah Allah SWT serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan. Daulat Tuanku,” katanya ringkas.
Istiadat Perbarisan Kehormatan sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan baginda berlangsung di Dataran Medan Bandar, Alor Setar pada Sabtu, dengan keberangkatan Sultan Sallehuddin, Sultanah Maliha serta Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.