KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan rasa dukacita atas pemergian isteri kepada Premier Sarawak, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang, awal pagi Isnin.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau, Anwar menyatakan rasa sedih yang mendalam atas berita pemergian Allahyarhamah dan turut menitipkan doa buat seluruh keluarga mendiang.
“Seluruh ingatan kami pada keluarga Allahyarhamah, terutama buat Abang Jo yang baru saya temui semalam. Moga terus sabar dan tabah menerima ujian ini,” katanya.
Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 3.34 pagi di Pusat Perubatan Normah, Kuching, pada usia 76 tahun. Perkara itu disahkan oleh Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazruddin Abdul Rahman.
Majlis penghormatan terakhir akan diadakan di Masjid Jamek Petra Jaya bermula jam 10 pagi sehingga 12 tengah hari, sebelum jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang.
Allahyarhamah Puan Sri Juma’ani dikenali sebagai seorang tokoh wanita yang sentiasa berdiri di belakang kepimpinan suami beliau serta aktif dalam kegiatan kemasyarakatan dan kebajikan di negeri Sarawak.
Pemergian beliau bukan sahaja satu kehilangan besar buat keluarga, malah turut dirasai oleh rakyat Sarawak yang mengenang jasa dan sumbangannya kepada masyarakat.