CYBERJAYA:Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil langkah proaktif memperkukuh pembangunan modal insan negara dengan melancarkan dua program biasiswa baharu bagi melahirkan barisan profesional dalam sektor komunikasi dan multimedia.
Dua biasiswa yang diperkenalkan itu ialah Biasiswa MCMC LEGASI dan Biasiswa MCMC CARE, masing-masing menyasarkan pelajar cemerlang dan berpotensi tinggi untuk diketengahkan dalam bidang strategik yang menyokong ekosistem digital negara.
Menurut kenyataan MCMC hari ini, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen suruhanjaya dalam membina ekosistem digital negara yang mampan, sejajar dengan aspirasi Malaysia dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri Keempat (IR4.0).
“Biasiswa ini bukan sahaja menyokong pendidikan, malah menyediakan laluan kerjaya jangka panjang dalam bidang-bidang strategik seperti keselamatan siber, dasar pengawalseliaan dan teknologi IoT,” kata MCMC.
Biasiswa LEGASI atau Leaders of the Next-Generation Scholarship memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik dan potensi kepimpinan dalam kalangan pelajar.
Ia ditawarkan kepada pelajar cemerlang yang sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan komunikasi dan multimedia di institusi pengajian tinggi dalam serta luar negara.
Antara manfaat utama biasiswa termasuk pembiayaan penuh yuran pengajian, elaun sara hidup, latihan industri, pendedahan kepada dasar serta jaminan penempatan kerja di MCMC selepas tamat pengajian.
“Peserta juga akan diberi peluang menjalani latihan profesional serta memperoleh pensijilan dalam bidang strategik,” menurut kenyataan itu.
Maklumat lanjut berkenaan Biasiswa LEGASI dan CARE boleh didapati menerusi portal rasmi MCMC.