KUCHING – Kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia bukanlah beban atau titik lemah seperti yang berlaku di sesetengah negara, sebaliknya adalah aset yang harus dipelihara dan diraikan sebagai lambang kekuatan nasional.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, dalam dunia hari ini yang semakin mencabar dari segi geopolitik, perpaduan menjadi benteng paling utama dalam memastikan kestabilan negara terjamin.
“Banyak negara runtuh kerana gagal mengurus perbezaan kaum dan agama, tetapi Malaysia harus menjadi contoh bahawa kerencaman budaya adalah kelebihan, bukan kelemahan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025 di Kuching, malam tadi.
Anwar berkata, dalam konteks Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik, perpaduan dalam kepelbagaian adalah kunci kepada kemajuan bersama.
“Saya bangga memperkenalkan budaya Malaysia kepada dunia. Ketika menerima lawatan Ketua Pegawai Eksekutif Conoco Philips baru-baru ini, saya mengenakan busana tradisional Iban. Ini bukan sekadar simbolik, tetapi mesej jelas bahawa kita menghargai budaya tempatan,” ujarnya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri turut mengumumkan pertemuan bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto Jumaat ini, bagi membincangkan cadangan menjadikan Sarawak sebagai hab Grid Tenaga ASEAN.
“Dengan kekuatan tenaga hidro, gas dan hidrogen, Sarawak berada di kedudukan terbaik untuk memacu pelaksanaan projek ini yang bukan sahaja menghubungkan Sabah dan Kalimantan, tetapi juga ke Selatan Filipina,” katanya.
Sambutan Gawai Dayak tahun ini bukan sahaja menyemarakkan semangat masyarakat Dayak, tetapi turut menjadi pentas untuk merapatkan jurang antara rakyat pelbagai latar belakang.