KUALA LUMPUR – Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 yang diluluskan di Parlimen pada Disember lalu akan hanya dikuatkuasakan selepas kesemua 10 garis panduan berkaitan disiapkan sepenuhnya, jelas Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurut beliau, setakat ini hanya lima garis panduan telah disiapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), manakala baki lima lagi masih dalam proses perincian bersama pihak berkepentingan termasuk industri.
“Kita belum kuatkuasakan akta ini kerana terdapat 10 peraturan yang perlu dibangunkan oleh MCMC. Pada waktu ini, lima telah siap dan lima lagi masih dalam penyediaan.
“Sebahagiannya memerlukan perbincangan lanjut dengan industri, jadi kita perlukan masa bagi memastikan semuanya lengkap dan menyeluruh,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Terbuka Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di sini pada Selasa.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah IPPTAR, Roslan Ariffin.
Akta berkenaan digubal bagi memperkasa keselamatan siber negara termasuk membendung penyebaran kandungan berunsur fitnah, penipuan serta ancaman terhadap ketenteraman awam dalam talian, isu yang semakin membimbangkan dalam era digital masa kini.
Sementara itu, Fahmi berkata, Majlis Media Malaysia (MMM) turut disarankan agar terlibat dalam pembangunan garis panduan berkaitan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor penyiaran.
“Saya percaya dengan penglibatan MMM, industri dan pihak kerajaan, kita dapat meneliti manfaat AI secara kolektif dan mewujudkan panduan yang bertanggungjawab agar teknologi ini tidak disalahgunakan,” katanya.
Mengulas mengenai IPPTAR, beliau mahu institusi penyiaran itu lebih terbuka dan inklusif kepada orang awam serta pemain industri.
“Saya lihat IPPTAR berpotensi besar untuk jadi pusat latihan media kreatif negara. Kerjasama dengan agensi seperti MyCreative Ventures boleh membuka ruang kepada lebih banyak latihan profesional yang mendekati keperluan semasa industri,” tambah beliau.