Wednesday, 25, June, 2025
Utama Nasional Kerajaan MADANI berpotensi besar kekal mentadbir penggal seterusnya – Merdeka Centre

Kerajaan MADANI berpotensi besar kekal mentadbir penggal seterusnya – Merdeka Centre

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat mempunyai peluang cerah untuk terus memimpin selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), menurut kajian dijalankan Merdeka Centre.

Pengarah Program Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata, keyakinan ini bersandarkan kepada kestabilan yang ditampilkan gabungan kerajaan campuran yang menggabungkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

“Jika tiada sebarang kejutan besar dari sudut ekonomi mahupun politik, struktur sedia ada dilihat cukup kukuh untuk melangkah ke penggal seterusnya,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa golongan pengundi muda berusia bawah 30 tahun menunjukkan tahap sokongan lebih tinggi terhadap Anwar, iaitu sekitar 60 peratus.

“Generasi muda ini cenderung menghargai kestabilan politik dan memberi perhatian terhadap dasar-dasar jangka panjang yang menjurus kepada pelaburan dan pertumbuhan ekonomi negara,” ujar beliau.

Namun begitu, katanya, kumpulan usia 30 hingga 50 tahun yang merupakan tenaga kerja utama negara masih menzahirkan kebimbangan terhadap tekanan kos sara hidup serta kadar peningkatan pendapatan yang dilihat tidak seimbang.

“Mereka ini tidak tergolong dalam kategori miskin, namun turut tidak berasa cukup stabil dari aspek ekonomi. Ditambah pula dengan pengaruh media sosial yang mendefinisikan kejayaan secara tidak realistik, ramai yang kecewa kerana gagal mencapai standard kehidupan dalam alam maya itu,” katanya.

Jelas Ibrahim, cabaran ekonomi kekal sebagai faktor penentu dalam menentukan tahap sokongan rakyat terhadap pentadbiran Kerajaan MADANI, sejajar dengan trend dua dekad lalu.

“Walaupun kerajaan sedang giat merancakkan ekonomi pasca COVID-19 dan mengukuhkan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa, impaknya memerlukan masa untuk dirasai secara menyeluruh oleh rakyat,” tambah beliau.

Pada Isnin lalu, Merdeka Centre mengeluarkan kenyataan yang menunjukkan 55 peratus pengundi masih menaruh kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sokongan ini, menurut penganalisis, menjadi petanda bahawa rakyat kini lebih mementingkan kestabilan jangka panjang berbanding pergolakan politik yang berpanjangan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com