PUTRAJAYA – Malaysia dan Republik Kyrgyz sependapat bahawa komuniti antarabangsa perlu mempertimbangkan semula pengiktirafan terhadap Afghanistan sebagai langkah penting ke arah kestabilan serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menyokong penuh pandangan Presiden Kyrgyzstan, Sadyr Zhaparov yang menyeru agar pentadbiran di Kabul diberi peluang untuk kembali menjalin hubungan diplomatik berdasarkan syarat-syarat tertentu.
“Sebagai negara yang lebih dekat secara geografi, Kyrgyzstan tentunya mempunyai perspektif yang luas dalam memahami situasi sebenar di Afghanistan.
Kita boleh pelajari sesuatu dari pandangan dan nasihat mereka,” katanya dalam sidang akhbar bersama Presiden Zhaparov di Seri Perdana, di sini, semalam.
Ketika ini, tiada negara secara rasmi mengiktiraf kerajaan pimpinan Taliban, yang menguasai Afghanistan sejak 2021 di bawah nama Emiriah Islam Afghanistan.
Dalam sidang media sama, Anwar mengulangi pendirian tegas Malaysia berhubung konflik di Gaza dan menuntut supaya Israel menghentikan semua bentuk kekejaman dan penjajahan terhadap rakyat Palestin.
“Kami menyuarakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap hak rakyat Gaza untuk hidup aman dan merdeka selepas sekian lama ditindas serta dikhianati oleh kegagalan komuniti antarabangsa,” katanya.
Selain membincangkan isu geopolitik, kedua-dua pemimpin turut menekankan komitmen untuk memperkukuh hubungan dagangan dan pelaburan dalam sektor seperti pertanian, logam berharga, perlombongan, tekstil serta makanan terproses.
Malaysia dan Kyrgyzstan juga bersetuju untuk memperkasa kerjasama antara agensi perdagangan dan eksport, bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi yang saling menguntungkan.
Terdahulu, Presiden Zhaparov diberi sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra sempena lawatan rasmi dua hari ke Malaysia. Ketibaan beliau disambut dengan iringan lagu kebangsaan kedua-dua negara, dengan kehadiran beberapa menteri kabinet serta pegawai kanan kerajaan.