JAKARTA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Jakarta hari ini bagi memulakan lawatan rasmi ke Indonesia, dalam usaha memperkukuh hubungan strategik antara dua negara jiran itu.
Pesawat yang membawa beliau bersama delegasi Malaysia mendarat di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Jakarta Timur, kira-kira jam 1 tengah hari waktu tempatan.
Ketibaan Anwar disambut oleh Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, sebelum kedua-dua pemimpin berangkat ke Istana Merdeka untuk majlis sambutan rasmi.
Majlis tersebut dimulakan dengan pemeriksaan barisan kehormatan oleh Pasukan Keselamatan Presiden serta nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua negara.
Anwar dan Prabowo kemudian memperkenalkan anggota Kabinet masing-masing sebelum sesi bergambar dan menandatangani buku pelawat.
Delegasi Malaysia turut disertai beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Program diteruskan dengan pertemuan empat mata antara Anwar dan Prabowo, disusuli mesyuarat dua hala lanjutan yang turut melibatkan menteri-menteri dari kedua-dua negara.
Mesyuarat berkenaan dijangka memberi tumpuan kepada aspek perdagangan, pelaburan, pendidikan, komunikasi, komoditi serta hal ehwal serantau, bersesuaian dengan portfolio menteri yang menyertai lawatan itu.
Lawatan Anwar ke Indonesia kali ini turut diadakan ketika Malaysia bersiap sedia memegang jawatan Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, sekali gus menjadikan pertemuan tersebut sebagai platform penting untuk menyelaras agenda serantau.
Lawatan ini juga sebahagian daripada persiapan menjelang Perundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-13 yang dijadual berlangsung pada penghujung tahun ini.