PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk mengecualikan buah epal dan oren import daripada perluasan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dicapai selepas dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet semalam, mengambil kira rungutan rakyat termasuk daripada golongan berpendapatan rendah.
“Masih ada orang mengeluh, katanya orang kampung, orang miskin pun nak juga makan epal.
“Dulu orang kata ‘An apple a day keeps the doctor away’… tapi tak betul, sebenarnya pisang yang lebih baik kerana kaya dengan potasium,” katanya dalam nada berseloroh.
Menurut Anwar, walaupun terdapat sedikit cukai terhadap buah-buahan import lain, kerajaan bersetuju memberikan pengecualian khusus bagi epal dan oren demi memastikan akses makanan sihat tidak membebankan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Kota MADANI di Presint 19, di sini, pada Khamis.
Pada 9 Jun lalu, kerajaan mengumumkan semakan semula kadar dan skop SST yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Julai, dengan barangan keperluan kekal tidak dikenakan cukai, manakala barangan lain dikenakan kadar lima atau 10 peratus bergantung kepada kategori.
Selain itu, skop cukai perkhidmatan turut diperluaskan melibatkan enam sektor baharu iaitu penyewaan dan pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Pemborong Buah-buahan Kuala Lumpur, Chin Nyuk Moy menyuarakan kebimbangan mengenai pelaksanaan SST terhadap semua buah-buahan import yang disifatkan akan menyebabkan kenaikan harga ketara.
Katanya, buah seperti epal, oren dan anggur tidak seharusnya dianggap sebagai makanan mewah atau ‘kayangan’, sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada diet harian rakyat pelbagai lapisan.
Susulan itu, pelbagai pihak menggesa kerajaan menilai semula dasar percukaian terhadap buah-buahan import kerana impaknya secara langsung kepada kos sara hidup rakyat.