KUALA LUMPUR – Umat Islam di negara ini diseru menolak pemikiran ekstrem dan sebaliknya mengangkat pendekatan terbuka serta berfikir secara kritis dalam menanggapi isu masyarakat dan agama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keterbukaan minda dan sikap berpandangan jauh amat penting dalam melahirkan sebuah masyarakat Islam progresif yang menjunjung nilai murni dan keadilan.
“Saya menyeru agar kita semua menghindari pemikiran ekstrem sebaliknya mengutamakan pemikiran yang terbuka dan kritis,” katanya dalam ucapan aluan sempena Sambutan Ma’al Hijrah 1447H di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Menurutnya, nilai integriti dan amanah perlu dijadikan asas dalam setiap lapisan kehidupan masyarakat bagi melahirkan ummah yang berwibawa dan berakhlak.
“Integriti dan amanah bukan sekadar nilai, ia adalah pegangan hidup. Dengan nilai inilah kita bangunkan negara, pimpin masyarakat dan bentuk generasi akan datang,” tegas beliau.
Datuk Seri Anwar turut menyeru umat Islam menjadikan perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat sebagai pedoman dalam mempertahankan syiar Islam.
“Suka saya mengajak kita semua meneruskan misi dan visi perjuangan baginda tanpa gusar dan bimbang akan mehnah serta tribulasi yang bakal kita tempuhi.
“Jalan terus dengan semangat yang satu iaitu demi memastikan syiar Islam terus mekar di bumi Malaysia tercinta ini,” katanya.
Sambutan Ma’al Hijrah kali ini membawa tema Membangun Ummah MADANI, yang menurut Perdana Menteri bertepatan dengan semangat perjuangan dan transformasi sosial sebagaimana peristiwa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah.
Tambah beliau, semangat hijrah bukan hanya berkisar soal perpindahan fizikal, tetapi merangkumi perubahan sikap, peningkatan nilai, dan pembinaan masyarakat yang adil serta inklusif.
“Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar mengambil semangat Ma’al Hijrah sebagai dorongan berubah ke arah lebih baik – dari kebobrokan kepada kebaikan, dari ketakutan kepada keyakinan,” katanya.
Sambutan tersebut turut dihadiri barisan Jemaah Menteri, tokoh-tokoh agama serta ribuan masyarakat pelbagai latar belakang.