BALING – Projek pembinaan Empangan Sabo di lembangan Sungai Kupang di sini dijangka siap lebih awal daripada tarikh asal susulan prestasi kerja yang jauh mendahului jadual, sekali gus memberi kelegaan kepada lebih 5,000 penduduk yang sering berdepan risiko banjir puing.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, projek bernilai RM22.8 juta itu kini telah mencapai 62 peratus kemajuan fizikal, berbanding jadual asal yang hanya mensasarkan 20 peratus pada peringkat ini.
Menurut beliau, empangan tersebut merupakan langkah mitigasi penting selepas tragedi banjir puing pada 4 Julai 2022 yang meragut tiga nyawa dan menyebabkan kerosakan besar di beberapa kawasan sekitar Baling.
“Empangan ini akan menahan aliran sisa pokok, bongkah batu dan lumpur dari hulu sungai serta mengurangkan impak kepala air. Ia terbukti berkesan seperti yang telah dilaksanakan di Gunung Jerai.
“Selain itu, ia turut dilengkapi sistem telemetri bagi memberi amaran awal banjir kepala air, sekali gus membantu mengurangkan risiko bencana,” katanya ketika meninjau tapak projek di Kampung Iboi, Kupang pada Sabtu.
Saifuddin yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah berkata, kerajaan turut melaksanakan projek pembinaan 17 unit rumah ganti kepada mangsa banjir puing di Kampung Iboi, yang kini hampir siap sepenuhnya.
“Projek rumah ganti ini telah mencapai 95 peratus kemajuan fizikal dan dijangka siap akhir Julai ini. Ia dibiayai Kerajaan Persekutuan dengan peruntukan RM3 juta, manakala penyediaan tapak disumbangkan kerajaan negeri sebanyak RM600,000.
“Rumah ini lengkap dengan kemudahan asas dan dibina di kawasan lebih selamat. Penduduk akan mula menghuni sebaik sahaja sambungan elektrik diselesaikan, dijangka minggu ketiga Julai,” ujarnya.
Tambah beliau, kejayaan projek ini mencerminkan pelaksanaan konsep Malaysia Madani yang menekankan kebajikan dan keselamatan rakyat secara menyeluruh.
Dalam pada itu, dua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) turut sedang dilaksanakan bagi menangani kekerapan banjir di Baling yang semakin membimbangkan.
Menurut data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sebanyak 17 kejadian banjir direkodkan di daerah itu sepanjang tahun lalu, meningkat berbanding hanya 10 kejadian pada tahun 2023.
“RTB fasa satu melibatkan kerja menaik taraf Sungai Kupang dan pembinaan ban dengan nilai projek RM9.66 juta. Ia kini berada pada tahap 12 peratus dan dijangka siap pada 6 November 2026.
“Sementara itu, RTB fasa dua bernilai RM118.1 juta kini dalam peringkat awal pelaksanaan dengan kemajuan 3.68 peratus dan dijangka siap pada 31 Januari 2029,” katanya.
Beliau berkata, apabila siap kelak, kedua-dua projek RTB itu dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk sekitar Pekan Baling, khususnya dari segi pengurangan risiko kerosakan harta benda dan keselamatan nyawa.
Saifuddin turut memberi jaminan bahawa pemantauan rapi akan diteruskan bagi memastikan semua projek disiapkan mengikut jadual.
“Kalau perlu, saya akan datang semula tahun depan untuk pastikan projek ini tidak terhenti di tengah jalan. Kita mahu rakyat Baling hidup lebih selamat dan sejahtera,” katanya.