Wednesday, 2, July, 2025
Utama Nasional Malaysia, Indonesia sepakat kukuhkan perpaduan ASEAN

Malaysia, Indonesia sepakat kukuhkan perpaduan ASEAN

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia sependapat bahawa perpaduan serta kestabilan ASEAN amat penting dalam menghadapi cabaran semasa, termasuk isu ekonomi, politik dan keselamatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang dibincangkan bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dalam lawatan rasmi beliau ke republik itu.

“Sebagai dua negara pengasas ASEAN, kedua-dua negara menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh perpaduan serantau serta mengekalkan kestabilan ASEAN,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Anwar, hubungan erat Malaysia-Indonesia juga akan terus dijadikan contoh dan pemangkin kepada kesatuan ASEAN yang lebih kukuh demi kesejahteraan rakyat di kedua-dua negara dan rantau ini secara menyeluruh.

Mengulas lanjut, beliau berkata kedua-dua negara turut sepakat untuk menyelesaikan isu sempadan yang masih tertangguh, termasuk berkaitan maritim, secara segera dan menyeluruh.

“Usaha ini penting bagi memastikan kepentingan jangka panjang dalam persahabatan dan kerjasama erat antara Malaysia dan Indonesia terus terpelihara,” katanya.

Anwar turut menyifatkan pendekatan menang-menang yang diambil kedua-dua negara sebagai bukti keserasian pandangan dan kepercayaan yang tinggi antara jiran serumpun itu.

“Keserasian ini mencerminkan hubungan akrab serta hubungan strategik yang semakin kukuh antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com