PUTRAJAYA: Semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) kini boleh menebus Baucar Buku Guru MADANI bernilai RM100 bermula hari ini hingga 30 September depan, menurut kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM).
Penebusan baucar boleh dibuat menerusi platform DELIMa dengan melayari laman https://d2.delima.edu.my/login dan klik pautan ‘Tebus Baucar Buku Guru MADANI 2025’.
Inisiatif ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 pada 1 Jun lalu.
Menurut KPM, seramai lebih 430,000 PPP di bawah kementerian itu bakal menerima manfaat daripada pemberian baucar berkenaan.
“Ia merupakan hadiah ilmu kepada golongan pendidik sebagai usaha membudayakan amalan membaca dan menyokong pembelajaran sepanjang hayat,” kata kenyataan itu.
Langkah ini turut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh penghargaan terhadap jasa guru serta menggalakkan pembangunan profesional berterusan dalam kalangan pendidik di seluruh negara.