Saturday, 5, July, 2025
Utama Nasional Anwar mulakan lawatan sulung ke Perancis, fokus perkukuh kerjasama dua hala

Anwar mulakan lawatan sulung ke Perancis, fokus perkukuh kerjasama dua hala

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasmi dua hari ke Perancis bermula hari ini atas jemputan Presiden Emmanuel Macron, sekali gus menandakan lawatan sulung beliau ke negara itu sejak dilantik sebagai Perdana Menteri.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, Anwar akan diraikan dalam Majlis Sambutan Rasmi di Hôtel des Invalides pada 4 Julai, sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan Macron serta mesyuarat delegasi di Istana Élysée.

Pertemuan tersebut dijangka membuka ruang untuk kedua-dua pemimpin menilai status semasa hubungan dua hala serta meneroka potensi kerjasama baharu dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertahanan, pendidikan, pelancongan dan kesalinghubungan antara rakyat.

“Kedua-dua pemimpin turut akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, termasuk Hubungan Rakan Pembangunan ASEAN-Perancis, Dialog ASEAN-Kesatuan Eropah serta situasi semasa di Asia Barat,” menurut kenyataan itu.

Lawatan ini juga menyaksikan penglibatan aktif Anwar dalam sesi meja bulat bersama pemimpin industri utama Perancis, bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan strategik.

Selain itu, beliau dijadual menyampaikan syarahan umum di Universiti Sorbonne, mengadakan pertemuan dengan Rektor Masjid Besar Paris serta beramah mesra dengan warga diaspora Malaysia yang menetap di negara berkenaan.

Turut serta mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Perancis merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU) dan antara penyumbang utama pelaburan langsung asing dalam sektor teknologi tinggi dan strategik.

Pada tahun 2024, nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Perancis mencecah RM15.95 bilion (AS$3.63 bilion), manakala dalam tempoh Januari hingga Mei 2025, perdagangan direkodkan sebanyak RM6.26 bilion (AS$1.49 bilion).

Sejurus selesai lawatan ke Perancis, Anwar dijadual meneruskan lawatan kerja ke Brazil bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS dari 5 hingga 7 Julai.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com