ROM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima sambutan rasmi oleh Kerajaan Itali di Chigi Palace di sini, pada Khamis, sebagai sebahagian daripada rangka lawatan kerja tiga hari beliau ke negara berkenaan.
Ketibaan beliau sekitar jam 12 tengah hari waktu tempatan disambut oleh Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, sebelum lagu kebangsaan Malaysia dan Itali dimainkan sebagai simbol penghormatan diplomatik.
Anwar kemudian melakukan pemeriksaan kawalan kehormatan sebelum diperkenalkan kepada barisan delegasi dari kedua-dua negara.
Mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Delegasi Malaysia dan Itali kemudiannya mengadakan mesyuarat dua hala selama kira-kira 40 minit, yang antara lain membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, teknologi hijau, pertahanan dan pendidikan.
Usai mesyuarat tersebut, Anwar berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Fiumicino Leonardo da Vinci bagi meneruskan siri lawatan rasmi ke Paris, Perancis.
Lawatan kerja ini dijangka terus memperkukuh hubungan Malaysia dengan negara-negara utama Eropah, khususnya dalam konteks kerjasama ekonomi, teknologi dan hubungan dua hala yang strategik.