Saturday, 5, July, 2025
Utama Mahkamah & Jenayah Penjenayah buruan polis 41 rekod jenayah antara dua ditembak mati

Penjenayah buruan polis 41 rekod jenayah antara dua ditembak mati

oleh Ammar Haziq

KUBANG PASU –Dua lelaki disyaki penjenayah tegar ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di susur masuk Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Jitra, di sini, pagi Sabtu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.05 pagi ketika sepasukan anggota polis sedang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan sebelum terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, kenderaan itu diarahkan berhenti namun suspek enggan memberi kerjasama dan salah seorang daripadanya melepaskan tembakan ke arah polis.

“Berlaku insiden berbalas tembakan yang menyebabkan kedua-dua suspek maut di tempat kejadian. Pemeriksaan lanjut menemui dua pucuk pistol jenis revolver dan semi auto, beberapa butir peluru hidup, sebilah parang serta peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus.

Fisol berkata, siasatan awal mendapati salah seorang suspek berusia 41 tahun mempunyai lebih 41 rekod jenayah lampau, manakala identiti seorang lagi masih belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

“Kita percaya kedua-dua suspek ini merupakan anggota kumpulan jenayah terancang yang aktif sejak 2020 dan terlibat dalam pelbagai kes jenayah kekerasan termasuk gangsterisme, pecah kilang, pengedaran dadah dan samun di seluruh negara,” katanya.

Tambah beliau, Unit Forensik turut menemui tiga kelongsong peluru di lokasi kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Mayat kedua-dua suspek dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com