Sunday, 6, July, 2025
Utama Nasional PM nyatakan sokongan usaha damai Macron di Gaza

PM nyatakan sokongan usaha damai Macron di Gaza

oleh Ammar Haziq

PARIS: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan penuh terhadap usaha diplomatik Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam menangani konflik berterusan di Gaza, selain menggesa masyarakat antarabangsa supaya lebih konsisten dalam isu berkaitan penggunaan teknologi nuklear.

Dalam sidang media bersama sempena lawatan rasmi beliau ke Perancis, Anwar menyifatkan inisiatif Macron untuk menamatkan keganasan di Gaza sebagai langkah berani dan berterusan yang patut diberi sokongan.

“Amat mendukacitakan apabila masyarakat antarabangsa masih gagal menyelesaikan isu ini. Inisiatif anda mendapat sokongan daripada kami, tiada kompromi terhadap usaha damai,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa keamanan hanya dapat dicapai dengan komitmen kedua-dua pihak dan Malaysia kekal menyokong penyelesaian dua negara sebagai jalan terbaik menyelesaikan konflik tersebut.

Dalam pada itu, Anwar menyuarakan kebimbangan terhadap sikap tidak seimbang dalam dasar penggunaan teknologi nuklear yang diamalkan oleh sebahagian negara kuasa besar.

Katanya, prinsip penggunaan teknologi nuklear untuk tujuan aman harus diterapkan secara adil dan tidak berat sebelah.

“Jika anda kata tidak kepada Iran, tetapi ya kepada Israel, itu masalah. Kita mesti menggesa Iran agar menggunakan teknologi nuklear untuk tujuan aman dan membenarkan pemeriksaan, yang mana mereka sendiri telah berikan komitmen,” ujarnya.

Beliau turut mengecam tindakan ketenteraan terhadap Iran, dan menegaskan bahawa Malaysia menolak sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan di rantau berkenaan.

Anwar berkata, Malaysia akan terus menjalinkan komunikasi dengan semua pihak termasuk Tehran, dalam memastikan kestabilan serantau terus terpelihara.

Beliau turut menekankan bahawa usaha membendung penyebaran senjata nuklear (nuclear non-proliferation) perlu bersifat menyeluruh dan bebas daripada kepentingan politik.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com