Wednesday, 9, July, 2025
Utama Ekonomi Lawatan Anwar bawa agenda besar negara, bukan ‘jalan-jalan’ – Setpol PM

Lawatan Anwar bawa agenda besar negara, bukan ‘jalan-jalan’ – Setpol PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Dakwaan sesetengah pihak pembangkang bahawa lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara sekadar ‘jalan-jalan’ disifatkan sebagai pandangan sempit dan tidak mencerminkan kefahaman terhadap realiti geopolitik semasa.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, berkata tuduhan seumpama itu mencerminkan kelemahan dalam memahami kepentingan diplomasi ekonomi dan strategi geoekonomi yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat dan negara.

“Ini bukan suka-suka jalan-jalan. Ini adalah diplomasi ekonomi dan geopolitik yang proaktif serta berpandangan jauh.

“Setiap lawatan rasmi membawa misi penting seperti menarik pelaburan berkualiti, memperkukuh kerjasama strategik, membuka pasaran baharu untuk syarikat tempatan serta memperjuangkan suara negara membangun di pentas antarabangsa seperti BRICS,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.

Beliau berkata, di bawah kepemimpinan Anwar, pendekatan Malaysia yang lebih aktif di peringkat antarabangsa telah mula menunjukkan hasil yang jelas.

Antaranya ialah peningkatan pelaburan yang diluluskan sebanyak 14.9 peratus kepada RM378 bilion, manakala nilai dagangan negara melonjak 9.2 peratus kepada RM2.88 trilion pada 2024.

Tambah beliau, dengan nisbah dagangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah 130 peratus, ekonomi Malaysia sebagai ekonomi terbuka memerlukan pendekatan proaktif dalam hubungan luar dan perdagangan antarabangsa.

“Langkah seperti menyambung semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU) dan memeterai FTA dengan negara-negara EFTA adalah antara hasil nyata diplomasi ekonomi ini,” katanya.

Ahmad Farhan turut menyindir pembangkang yang menurutnya gagal menyerlahkan peranan Malaysia di peringkat global ketika era pentadbiran mereka.

“Era kepemimpinan tempang, lemah dan ketandusan idea ibarat ‘belalang di tepi lautan’ itu sudah lama berlalu. Kini, dunia kembali memandang Malaysia sebagai rakan yang stabil, berprinsip dan berpotensi di bawah kepemimpinan MADANI,” katanya.

Beliau turut menyeru ahli politik pembangkang agar lebih memahami denyut nadi rakyat dan berhenti menabur tohmahan serta memainkan politik tanpa hikmah.

“Rakyat tidak semudah itu untuk diperdaya. Mereka lebih bijak menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk negara dan siapa yang sekadar mencari kesempatan politik,” katanya.

Anwar kini mengetuai delegasi Malaysia dalam siri lawatan rasmi ke Itali, Perancis dan Brazil bermula 1 Julai lalu, bagi mengukuhkan hubungan dua hala serta kerjasama perdagangan dan ekonomi.

Lawatan itu turut merangkumi penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak BRICS di Rio de Janeiro sebagai rakan kepada blok tersebut, selain membawa suara ASEAN dalam isu global seperti tadbir urus, AI, iklim dan kesihatan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com