KUALA LUMPUR: YTL Power International Bhd telah melabur kira-kira RM10 bilion dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur berkaitan setakat ini, sekali gus menggalakkan syarikat-syarikat tempatan untuk turut sama meneroka potensi teknologi itu.
Pengarah Eksekutifnya, Yeoh Keong Hann, berkata pelaburan itu merangkumi pembangunan pusat data berskala besar, unit pemprosesan grafik (GPU), serta model bahasa besar (LLM), menjadikannya antara infrastruktur AI paling canggih di dunia.
“Kami mempunyai 200 megawatt kapasiti yang sudah beroperasi dan berpotensi ditingkatkan kepada 600 megawatt. Kami juga bekerjasama dengan syarikat hiperskala global di kampus kami serta menjalin kerjasama strategik bersama NVIDIA yang membabitkan teknologi cip GPU,” katanya.
Menurut Yeoh, pusat data YTL Power di Malaysia kini dilengkapi cip terpantas di dunia – GB200 Blackwell – yang akan mula beroperasi dalam masa terdekat.
Beliau berkata demikian kepada media di Brazil, pada penutup lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Itali, Perancis dan Brazil. Turut hadir, Naib Presiden Komersial YTL Power, Dominic Hua.
Mengulas lanjut, Yeoh memaklumkan bahawa Perdana Menteri menyokong penuh pembangunan teknologi AI dan mahu syarikat tersebut memperluas pelaburan dalam sektor itu.
“Kami amat menghargai sokongan kerajaan dan peluang menjadi sebahagian daripada delegasi rasmi. Lawatan ini membuka ruang kami bertemu rakan industri di Paris, Rom dan Rio de Janeiro serta berkongsi kepakaran yang boleh dieksport ke peringkat global,” katanya.
Yeoh turut mengumumkan YTL Power sedang bersiap sedia untuk melancarkan ILMU 1.0, model bahasa besar pertama Malaysia, serta Ryt Bank – bank digital tempatan pertama yang dipacu teknologi AI.
YTL Power merupakan salah satu syarikat korporat Malaysia yang menyertai delegasi rasmi kerajaan bagi mengukuhkan hubungan dua hala serta merancakkan kerjasama perdagangan dan ekonomi.
Syarikat lain yang turut serta dalam lawatan berkenaan termasuk Petronas, Tenaga Nasional Bhd (TNB), Malayan Banking Bhd (Maybank), FGV Holdings Bhd dan Khazanah Nasional Bhd.