RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa akses adil kepada vaksin, sistem kesihatan awam yang kukuh serta peraturan terhadap rantaian bekalan perubatan global merupakan asas penting kepada kestabilan sesebuah negara dan keselamatan antarabangsa.
Dalam intervensinya pada sesi “Persekitaran, COP30 dan Kesihatan Global” sempena Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap ketidaksamaan global yang masih menentukan taraf kesihatan seseorang berdasarkan tahap pendapatan, bukan faktor biologi.
“Marilah kita mulakan dengan satu hakikat yang sukar. Di terlalu banyak tempat di dunia, jangka hayat seseorang masih ditentukan oleh tahap pendapatan. Peluang seorang kanak-kanak untuk hidup melepasi usia lima tahun masih banyak bergantung kepada KDNK per kapita, ini satu kegagalan kolektif,” katanya.
Anwar memberi amaran bahawa apabila kerajaan terpaksa mengalihkan sumber terhad daripada perkhidmatan asas seperti penjagaan kesihatan dan bekalan air bersih untuk membayar hutang lapuk, sistem kewangan global secara tidak langsung menjadi penghalang kepada pembangunan.
Malaysia, katanya, menyambut baik inisiatif BRICS untuk menubuhkan Rakan Strategik bagi Menangani Penyakit Berasaskan Faktor Sosial, yang menurut beliau menunjukkan pemahaman yang lebih holistik terhadap kesihatan awam.
Beliau turut menyarankan agar BRICS dan ASEAN memperkukuh kerjasama dalam bidang kesihatan, termasuk meningkatkan pemantauan, pemindahan pengetahuan dan pembinaan daya tahan rentas sempadan.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan komitmen Malaysia terhadap peralihan karbon rendah yang kredibel dan adil. Malaysia mensasarkan pengurangan keamatan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus menjelang 2030, dan mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Sasaran ini, katanya, berpaksikan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara serta disokong oleh mekanisme harga karbon dan pembaharuan kawal selia dalam sektor utama. Malaysia juga sedang membangunkan dasar berkaitan Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) sebagai salah satu strategi penyahkarbon industri.
Namun, beliau menegaskan bahawa dasar sahaja tidak mencukupi tanpa pembiayaan yang mencukupi. Beliau memetik data bahawa pembiayaan iklim global ketika ini hanya sekitar US$300 bilion setahun, jauh lebih rendah daripada keperluan sebenar yang dianggarkan mencecah US$3 trilion setahun bagi negara membangun menjelang 2030.
Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Anwar berkata Malaysia giat memperkukuh kesepaduan serantau dalam tindakan iklim termasuk meningkatkan akses kepada pembiayaan hijau, penyelarasan piawaian serta menjadikan Asia Tenggara sebagai hab inovasi tenaga bersih dan pelaburan mampan.
Menjelang COP30 yang akan diadakan di Belem, Brazil pada November ini, beliau menyeru agar komuniti global beralih daripada retorik kepada tindakan konkrit.
“Keadilan iklim pada asasnya berkait rapat dengan pengagihan melibatkan modal, risiko dan tanggungjawab,” tegasnya.
Anwar menutup intervensinya dengan menegaskan bahawa kesihatan, iklim dan kewangan adalah isu yang saling berkait dan tidak boleh dipisahkan.
“Persekitaran yang tercemar melemahkan sistem kesihatan, manakala sistem kesihatan yang kekurangan dana pula melemahkan daya tahan negara. Kedua-duanya terjejas apabila beban hutang menyempitkan ruang dasar kebangsaan,” katanya.
Malaysia secara rasmi menjadi Rakan BRICS bermula 1 Januari lalu, dan kehadiran Perdana Menteri ke Sidang Kemuncak BRICS adalah atas jemputan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.