Thursday, 10, July, 2025
Utama Nasional Malaysia sokong kerjasama multilateral, tolak pendekatan unilateral

Malaysia sokong kerjasama multilateral, tolak pendekatan unilateral

oleh Ammar Haziq

RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia menyokong penuh semangat kerjasama pelbagai hala yang diketengahkan dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17, sambil menolak pendekatan unilateral dalam menangani cabaran global.

Menurut beliau, sidang kemuncak itu memperlihatkan kesepakatan jelas dalam kalangan negara-negara yang hadir untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa tanpa konfrontasi, namun tetap tegas dalam pendirian menolak hegemoni unilateral.

“Setakat yang saya dengar, tanpa kecuali semua mendukung semangat kerjasama multilateral dan menolak unilateral. Walaupun mereka lebih sopan dan tidak menyerang mana-mana negara secara langsung, semangat itu sangat jelas,” katanya pada sidang media sempena penutup lawatan rasmi ke Brazil.

Dalam pada itu, Anwar turut mengimbas sejarah solidariti negara-negara membangun yang bermula dengan Persidangan Afro-Asian di Bandung pada 1955, yang diasaskan oleh Presiden Indonesia, Soekarno bersama beberapa pemimpin dunia seperti Jawaharlal Nehru (India), Zhou Enlai (China) dan Josip Broz Tito (Yugoslavia).

Katanya, meskipun Gerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pernah memainkan peranan penting dalam mempertahankan hak negara Selatan, keterbatasan dari segi kekuatan ekonomi dan teknologi menyukarkan pergerakan tersebut untuk bersaing secara global.

“BRICS kini tampil sebagai platform yang lebih berdaya saing, dengan jaringan ekonomi yang luas serta keupayaan sebenar untuk memacu kerjasama Selatan-Selatan. Beberapa inisiatif turut dibincangkan, termasuk cadangan penubuhan bank digital dan kerjasama ekonomi rentas negara anggota,” ujarnya.

Sidang kemuncak BRICS tahun ini menghimpunkan pemimpin dari lima negara teras – Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan – bersama negara rakan seperti Malaysia, yang dijemput sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama ekonomi, teknologi dan pembangunan mampan di peringkat global.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com